BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, December 24, 2010

BAGUS BETUL PAK MENTERI MENJAGA KEBAJIKAN AHLI-AHLI SUKAN MALAYSIA.

Alex dapat imbuhan RM128,000


Ahmad Shabery Cheek menyampaikan cek RM100,000 kepada Nicol David pada majlis Kesyukuran dan Penyampaian Shakam di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Pemain boling senior negara, Alex Liew menjadi penerima terbesar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) ekoran kejayaannya memenangi tiga pingat pada Sukan Asia Guangzhou, bulan lalu.

Alex, 34, menerima imbuhan RM128,000, bagi dua pingat emas yang disumbangkan dalam acara all event lelaki dan lima sepasukan, serta perak bagi acara beregu lelaki, yang dimenanginya bersama Andrian Ang.

Selain Alex, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tersenarai sebagai penerima tertinggi skim terbabit dengan jumlah RM100,000, hasil kejayaan mengutip dua emas, masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasukan wanita.

Seorang lagi pemain skuasy, Mohamad Azlan Iskandar juga berada di senarai penerima tertinggi Shakam, dengan jumlah RM90,000, bagi satu emas dan perak.

Skuad skuasy menjadi penerima terbesar skim itu dengan jumlah RM320,000, apabila kesemua lapan atlet yang beraksi di Guangzhou, tidak menghampakan negara dengan kutipan pingat.

Pasukan hoki lelaki yang membuat kejutan melangkah ke final pula mendahului senarai penerima terbesar bagi atlet berpasukan, apabila 16 pemain mereka berkongsi RM128,000.

Atlet emas lain yang menerima RM80,000 adalah jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang, atlet karate, Ku Jin Keat dan R.Puvaneswaran serta atlet wushu, Chai Fong Ying.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyempurnakan penyerahan kepada hampir kesemua pemenang pingat Sukan Asia menyifatkan, tahun 2010 adalah tahun paling cemerlang sukan Malaysia.

"Setelah cemerlang pada Sukan Olimpik Remaja, Sukan Komanwel, tahun ini kita juga meraih kejayaan besar dalam Sukan Asia serta Sukan Para Asia, yang berakhir baru-baru ini.

"Saya sifatkan 2010 tahun paling cemerlang sukan negara dan berharap ia berterusan untuk tahun-tahun akan datang serta Sukan Olimpik 2012 nanti," katanya.

Sebanyak sebanyak 78 atlet (11 emas, 55 perak, 21 gangsa) menerima bayaran Shakam dengan jumlah keseluruhan RM1.8 juta.

Tambah Shabery, atlet cemerlang dalam kejohanan antarabangsa, tetap akan menerima ganjaran yang sepatutnya.

"Tidak ada kompromi bagi mereka yang cemerlang dalam mana-mana kejohanan untuk menerima ganjaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN)," ujarnya.

Mengulas tentang tahun 2011 yang tidak mempunyai banyak kejohanan besar, Shabery menyifatkan ia bukan alasan atlet negara tidak beraksi baik, memandangkan setiap tahun banyak kejohanan dunia yang lain.

"Kita mempunyai kejohanan bertaraf dunia dan kita mahu mereka pamer kehebatan juga, lagipun Sukan SEA akan diadakan November depan.

"Kecemerlangan tahun ini hasil dari program cabaran 2010 yang dimulakan 2006 lagi dan tahun ini, kita mulakan cabaran 2014 pula," jelasnya

0 comments: