BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, December 24, 2010

Saya suka saranan ENCIK M.HANAFIAH A.SAMAD - MUAR JOHOR

Muzium 13 Mei beri iktibar kepada rakyat

BARU-BARU ini presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, ada mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Muzium 13 Mei supaya rakyat terutama generasi muda kita dapat mengetahui apa sebenarnya peristiwa hitam yang melanda negara.

Ada yang menganggap 13 Mei 1969 itu sebagai peristiwa berdarah. Ini adalah suatu peristiwa paling buruk melanda Malaysia sejak selepas merdeka. Malah ada yang mengatakannya lebih buruk daripada peristiwa darurat kerana ia berlaku secara terbuka.

Peristiwa 13 Mei telah menjejas ketenteraman dan keselamatan negara. Keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum hampir musnah akibat api perkauman yang dinyalakan dengan membakar perasaan dan sentimen rakyat agar bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain.

Semangat perkauman itu benar-benar menghancurkan kehidupan bernegara rakyat yang sebelumnya hidup menjunjung perlembagaan dan menghormati undang-undang. Sayang sekali perpaduan kaum yang menjadi asas kehidupan rakyat Malaysia dirosakkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebab itu adalah wajar Muzium 13 Mei ini ditubuhkan supaya rakyat Malaysia dapat memahami sejarah hitam itu dan mengambil iktibar daripadanya. Ini adalah sejarah dan realiti yang mesti diterima. Tiada siapa perlu bersikap apologetik daripada peristiwa atau sejarah ini.

Kita perlu bersikap positif, objektif, waras dan melihat dengan fikiran terbuka. Sejarah 13 Mei sudah berlaku walaupun tiada siapa menghendakinya terjadi. Justeru kita perlu bersikap positif dengan cadangan PERKASA itu.

Sementelahan perpaduan nasional dilihat rapuh sekarang dan pertikaian mengenai kepentingan kaum dipolitikkan. Pastinya ini boleh mengundang ketegangan serta keresahan rakyat dan tidak mustahil peristiwa 13 Mei boleh berulang. Tetapi apakah ada jaminan untuk tidak berlaku?

Sebenarnya kita tidak hanya mempelajari sejarah 13 Mei. Tetapi apa yang lebih penting adalah kesan sosial dan ekonomi yang tercetus daripadanya seperti penyusunan semula masyarakat dilaksanakan dan Rukun Negara dilancarkan untuk mensejahterakan hidup rakyat.

Paling penting rakyat, khususnya generasi muda, melihat pemerintahan negara ini ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Kalau ditanya memang ramai yang tidak mengetahuinya. Ini adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia yang tidak diajar di sekolah.

Di penghujung peristiwa itu adalah bencana banjir yang hampir menenggelamkan Kuala Lumpur. Tidak pernah berlaku banjir sebesar ini. Tuhan menurunkan rahmatnya membasuh kesan-kesan darah peristiwa 13 Mei.

Jadi salahkah kita mengenang tragedi ini? Kita tidak perlu melabelkan sesiapa yang terlibat dengan peristiwa itu sebagai bukan rakyat Malaysia sebenar, tetapi terserah kepada rakyat untuk menilainya. Yang jelas 13 Mei hampir memusnahkan negara.

Sebab itulah saya menyokong penuh segala usaha untuk menubuhkan Muzium 13 Mei. Paparkan segala fakta. Biar seluruh rakyat tahu betapa berbahayanya isu perkauman jika dimainkan. Jadilah rakyat Malaysia sejati, bukan rakyat Malaysia celup seperti yang dipesankan oleh Lim Guan Eng.

M. HANAFIAH A. SAMAD

Muar, Johor

0 comments: